2-cedera-selepas-'power-bank'-terbakar-dalam-penerbangan-scoot-dari-taiwan-ke-singapura

SINGAPURA: Dua penumpang cedera selepas sebuah alat ‘power bank’  atau bateri yang boleh dicas semula terbakar dalam satu penerbangan Scoot menuju ke Singapura tidak lama sebelum ia berlepas pada Selasa (10 Jan).

“Penerbangan Scoot TR993 yang beroperasi dari Taipei ke Singapura pada 10 Januari, kembali ke pintu gerbang selepas sebuah alat pengecas kuasa milik seorang penumpang menjadi terlampau panas ketika pesawat berada di landasan”, kata Scoot menjawab pertanyaan CNA.

Pesawat itu kembali dengan selamat ke pintu gerbang, katanya.

Menurut Scoot, pemilik alat pengecas kuasa itu dan rakannya mengalami “kesan melecur kecil pada jari mereka” dan bantuan perubatan telah diberikan kepada mereka.

“Kami menjadualkan semula penerbangan itu dan akan menyediakan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terjejas.”

Sementara itu, seorang penumpang dalam penerbangan terbabit yang dihubungi CNA dari Taiwan berkata pihak krew kabin “amat profesional” dalam mengendalikan insiden cemas itu. 

Angie Ton, 28, merancang untuk melakukan transit melalui Singapura ke Malaysia, tetapi penerbangannya tidak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan Taiwan berikutan kejadian itu.

“Tahniah buat pramugari itu kerana mereka tahu apa yang perlu dibuat,” katanya. “Mereka berhak mendapat pengiktirafan atas latihan, kerja keras dan sikap tenang mereka.”

Menerusi video yang dikongsi penumpang di media sosial, seorang pramugari dilihat menenangkan para penumpang sambil meminta mereka menjauhkan diri dari api. Para penumpang turut meminta antara satu sama lain untuk memberi laluan.

Seorang lagi pramugari kemudian membawa alat pemadam api dan api berjaya dipadamkan dalam masa tiga minit, kata Cik Ton.

Tambahnya, kabin kemudiannya dipenuhi asap tetapi kru kabin telah memastikan ventilator dihidupkan dan ruang udara di dalam kabin kembali pulih.

Berdasarkan laporan media tempatan, pesawat Scoot itu sedang bersiap sedia untuk berlepas dari lapangan terbang Taoyuan di Taipei apabila pihak berkuasa lapangan terbang dimaklumkan mengenai kebakaran di kabin pesawat sekitar 7.40 malam.

Anggota bomba dikerahkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang dan pesawat itu dibenarkan kembali ke pintu gerbang selepas api berjaya dipadamkan.

Menurut laporan media itu lagi, insiden terbabit tidak menjejaskan operasi pelepasan dan pendaratan pesawat-pesawat lain di lapangan terbang Taoyuan.

“Scoot mohon maaf atas kejadian itu. Keselamatan penumpang dan anak kapal kami menjadi keutamaan kami,” menurut syarikat penerbangan itu sambil menambah siasatan sedang dijalankan. 

 

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai usaha pereka muda Singapura mengembangkan niaganya dalam kaligrafi Islam.    

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

 

THE FIRST E-COMMERCE SPECIALIZED ON TRUFFLES AND TRUFFLE PRODUCTS – TRUFFLEAT.IT

 

TrufflEat Olio Evo 300x207 1

Leave a Reply